Selamat Membaca :)

Selamat Membaca :)

Saturday 12 February 2011

Khadijah Isteri Nabi Muhammad S.A.W.

Bismillahirrohmanirrohim.
Asslamualaikum tahiyah mulia,
Pembuka tirai pelengkap bicara,
Khadijah isteri Nabi yang kaya
Ayuh kita kenali bersama.
Yang saya hormati, tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang adil lagi arif, guru-guru dan rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Salam sudah, pantun pun sudah, sekarang mari kita sama-sama mendengar cerita yang akan saya sampaikan.
Sebelum tu saya nak tanya, kawan-kawan tahu siapa itu Saidatina Khadijah? Pernah dengar tak nama ini? Haa…kalau kawan-kawan nak tahu, Saidatina Khadijah Rodhiallahu’anha adalah isteri pertama nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W.
Dalam sebuah hadis, ada disebut; sesungguhnya Ibnu Abbas radhiallhu ‘anhu berkata ; bahawasanya Rosulullah saw bersabda : “ Para wanita penghuni syurga setelah Maryam adalah : Fatimah , Khodijah dan isteri Fir’aun ” ( Hadis riwayat Ahmad )
Melalui hadis ini, dapatlah kita faham bahawa Khadijah adalah antara wanita terawal yang masuk syurga. Tapi.. apa sebabnya?
Pertama, adalah kerana beliau sentiasa berada di samping Nabi, saat Baginda memerlukannya.
Sewaktu kali pertama mendapat wahyu, Nabi berasa sangat gelisah, resah dan ketakutan. Sampai sahaja ke rumah, Nabi hanya mampu menyebut :
زَمِّلُونِي...زَمِّلُونِي

Selimutilah aku, selimutilah aku.. Khadijah yang terkejut melihat keadaan suaminya, lantas mengambil selimut dan menenangkan Nabi. Nabi menceritakan kepada Khadijah tentang malaikat Jibrail yang datang mengajarkannya membaca al-Quran. Khadijah terus menenangkan Nabi dan membertitahu Baginda bahawa beliau percaya dengan cerita tersebut.

Kedua, Khadijah sentiasa membenarkan kata Nabi di saat orang lain mendustakannya sepertimana kata Nabi Muhammad S.A.W:
صَدَّقَتْنِي إِذَا كَذَبَنِي النَّاسُ
Sewaktu berdakwah secara sembunyi, Rasulullah S.AW telah mengajak saudara-saudara terdekatnya untuk memeluk Islam. Namun kebanyakan dari mereka mendustakan Nabi malah mengejek-mengejek Baginda. Namun, Khadijah yang masih mentah tentang Islam, terus mempercayai kata-kata suaminya tanpa ragu-ragu.

Ketiga, Khadijah adalah wanita yang kaya tetapi pemurah. Beliau berniaga ke merata tempat dan memperoleh untung yang besar. Walaupun beliau berharta, beliau sanggup mengahwini Nabi Muhammad yang jauh beza daripadanya. Harta yang banyak tidak dibelanja untuk kepentingan sendiri sebaliknya disedekahkan. Sifatnya yang pemurah bertepatan dengan firman Allah Taala yang bermaksud:
(( Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. ))(Surah al-Furqan:67)
Kawan-kawan sekalian,
Ke-empat, sebab yang membawa Khadijah ke syurga ialah kerana kesetiaannya terhadap kekasih Allah, Nabi Muhammad S.A.W.
Wahai Siti Khadijah,
Kaulah wanita yang agung,
Namamu kami sanjung,
Kau setia, kau mulia.
Bila Nabi bersenang, kau senyum bersama,
Bila Nabi menangis, kau sapu air matanya,
Bila Nabiku sakit, kau ubati lukanya,
Bila Nabi berjuang, kau setia menantinya..
Waah.. Siti Khadijah asyik ditinggalkan Nabi saja kan? Kata pepatah, sayang anak, tangan-tangankan, sayang isteri, tinggal-tinggalkan.
Nabi bukan sengaja meninggalkan Khadijah, bukan bencikan isterinya tetapi kerana mahu memperjuangkan agama Allah. Baginda tahu, ada ganjaran pahala buat sayap kirinya, Saidatina Khadijah Rodhiallahu ‘anha.

Hadirin hadirat yang saya kasihi,
Kita singkap pula sebab kelima yang membawa Khadijah ke syurga. Teman-teman, kunci segala amal itu adalah ikhlas. Khadijah mengahwini Nabi kita, ikhlas kerana tergoda dengan sifat baiknya, khadijah mengorbankan harta bendanya, ikhlas kerana sayangkan Islam, beliau setia terhadap Nabi, ikhlas kerana menghormatinya sebagai kekasih Allah. Malah, segala yang dilakukan semasa hidupnya adalah ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Dan pastinya Allah tidak mensia-siakan amalan hambaNya: FirmanNya dalam surah An-Nahlu:
(( Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.))

Kawan-kawan,
Demikianlah sifat Khadijah Rodhiallahu’anha yang amat sempurna sehingga berjaya menambat hati Nabi, dan dinobat sebagai wanita terawal yang masuk syurga. Pengajaran dari cerita di atas:
Pertama, percayalah akan kata-kata Nabi, kita pasti bahagia
Kedua, jangan dustakan Nabi, nanti kita merana,
Ketiga jangan kedekut dengan harta, pasti syurga menanti kita.
Keempat, setialah dengan Nabi, moga kita beroleh pahala
Dan yang terakhir, iringilah setiap amalan dengan sifat ikhlas, mudah-mudahan redha Allah memayungi kita.
Sekian dahulu cerita saya. Dengan itu saya akhiri dengan Wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum w.r.t.h.

Thursday 10 February 2011

Cabai Jeruk

Pernah makan cabai jeruk? Tahu cara membuatnya? Haa... senang saja..


Mula-mula sediakan cili/ cabai/lada. Nak guna cili api boleh, cili besar pun boleh.




Potong cabai-cabai ni. Kalau tak mahu potong pun boleh juga. Kemudian letak dalam botol, isikan cuka, garam dan sedikit gula.




Inilah rupa cabai jeruk yang sudah siap. Simpan 5 hari, kemudian, bolehlah makan! :)
Sedap dimakan dengan megi, ataupun kuew teow goreng. Selamat mencuba ya!


Facebook Oh Facebook

Facebook oh Facebook
Facebook,
Dulu dunia warnanya berbeza,
Kami berteman tv dan telefon sahaja,
Cuma boleh bermesej, dan mendengar suara,
Bertukar gambar, video sekali sekala.
Facebook,
Tiba2 kau datang,
Seantero dunia kau serang,
Bukan kerana kau ajak berperang,
Tapi untuk membuka peluang,
Mencari rakan baru,
Menemukan teman-teman satu sekolah dahulu.
Facebook,
Niat kau sungguh baik,
Kami dekati engkau tanpa selidik,
Termangu di depan laptop tiap detik.
Facebook,
Makin hari kami makin ramai kenalan,
Ada antarabangsa, ada yang tempatan,
Kami ghairah mencari teman,
Tak kurang juga yang mendamba pasangan,
Memasang niat untuk berpacaran
Facebook,
Kau izin kami kongsi gambar foto,
Kau beri permisi kami letak video,
Ada yang comel, ada yang cantik,
ada yang hensem, ada yang gedik.
Facebook,
Dunia sekarang makin gila,
Yang kecil, remaja, muda dan tua,
Semuanya sudah menyalahguna.
Facebook,
Dalam diam kau rosakkan kami,
Dalam senyap kau palingkan kami,
Dalam sembunyi kau robek iman kami.
Facebook,
Kau pasti bangga,
Lamanmu kini bermacam warna,
Gambar terdedah sini sana,
Boleh dilihat isi dalamnya
Facebook,
Apa engkau merasa senang,
Melihat rambut disingkap, dada ditayang,
Melihat bangganya si tuan badan,
Sedikit pun tiada rasa keinsafan
Tetapi, engkau tak hairan.
Facebook,
Engkau pasti suka,
Membaca komen dan kata-kata nista,
Pati juga engkau juga bangga,
Menyaksikan manusia berbalah tak tentu hala,
menjadikan engkau medan bercerita,
Cerita yang membawa dosa.
Facebook,
Engkau terus kekal hingga hari ini,
Engkau terus senyum melihat kehancuran kami,
Engkau terus ketawa dengan "kejayaan" ini.
Dan kami, yang masih buta tuli,
Tetap menjadikan kau rakan peribadi
Tanpa rasa peduli,
Bahawa dosa meningkat tinggi.
P/S: Facebook, gunakanlah mengikut landasan yang betul. Moga kita tidak tergolong dalam orang2 yang alpa.