Selamat Membaca :)

Selamat Membaca :)

Friday 20 May 2011

Popia Sardin

Mari kita belajar resepi mudah; Popia Sardin. Mungkin ada yang masih tertanya cara membuatnya. Bahan-bahan yang diperlukan:


1- Sebiji bawang besar


2- Satu tin kecil sardin


3- Sebungkus kulit popia saiz kecil (50 keping)


4- 3 cawan minyak masak


5- Beberapa biji cili besar (mengikut citarasa)




Cara-cara membuatnya:


Hiris bawang dan cili. Kemudian..





Hancurkan sardin, masukkan semua bahan hirisan tadi.


Bancuhkan tepung, guna air biasa. Pastikan tidak pekat.


Letakkan sardin ke atas kulit popia, kemudian gulung. Gunakan bancuhan tepung tadi sebagai "gam".


Panaskan minyak, dan goreng selama 10 minit.
Popia Sardin siap untuk dihidangkan. Selamat Menjamu Selera :)


Thursday 19 May 2011

Harapan.

16 May 2011, 9.58 pagi.
Ada mesej masuk, bunyinya:
"Jadilah guru yang hadirnya diTUNGGU,
hilangnya diRINDU,
ilmunya di BURU,
nasihatnya diSERU,
tingkah lakunya diTIRU.
selamat hari GURU.."

Ringkas, menarik, mendalam.. Teringin benar menjadi guru semacam ini. Bolehkah?...

Sunday 15 May 2011

Selamat Hari Guru

Pantun: "Buatmu Guru"




Mencurah ilmu menanam budi,

Itu tugas guru sebenarnya,

Bila sabar menjadi nadi,

Murid yang nakal baik akhirnya.



Bukan seorang tetapi ramai,

Berdepan murid setiap hari,

Kasih dicurah sayang disemai,

Semangat disemat di dalam diri.



Murid disruptif tidak dimaki,

Tetapi dibimbing, terus dilayan,

Mengajar itu tugas hakiki,

Mengurus mentadbir sudah kemestian.

Tanggungjawab sama digalas,

Ikhlas tidak mengharap pujian,

Menyampai ilmu tanpa dibalas,

Cukuplah sebuah senyuman kejayaan.



Hadirnya guru membawa cahaya,

Mulianya guru menyebarkan budi,

Ilmu yang miskin menjadi kaya,

Moga semangatmu terus bersemadi.

sELAMAT hARI gURU buAT guru-GuRUku di TabiKa NeNasi, SK NenASi, SMA Al-aTTAS, mATrIKulasI uiAM, uIAM gOMbAK Dan InsTiTUT PenDiDIkAN gURU dARulAman. hAnyA Allah Dapat MemBAlAS JaSa Kalian..

Tuesday 10 May 2011

Akidah Kukuh Sahsiah Terpuji


Akidah itu pegangan,
Wahai mukmin sejati,
Allah itu adalah Tuhan,
Iman Islam biar sebati.
Cintailah Allah,
Sayang Rasulullah,
Hayati Al-Quran,
Jadikan panduan.
Semaikan mahmudah, hindari mazmumah.
Pekerti mulia, itu matlamat kita.
Ikhlaslah dalam berjuang,
Sabar tempuhi dugaan,
Kita hidup biar seimbang,
Redha Allah jadi sandaran.

Personaliti yang unggul,
Tidak akan tercapai,
Andai kau tidak bersungguh,
Mengukuh keimanan.

Ayuh kawan kita ikuti
Peribadi Rasul kita,
Iman akan teguh di hati,
Akhlak akan cantik jadinya
.



(Direka untuk dijadikan sebagai lirik lagu. Boleh juga dibaca seperti sajak. Sama-sama kita beroleh manfaat dari bait-bait ini.)


Sejarah Perkembangan Sekolah Pondok Sebelum Merdeka



Sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya telah wujud sejak zaman kegemilangan Empayar Melaka lagi. Pendidikan pada zaman tersebut adalah berteraskan Islam hasil daripada kedatangan agama suci tersebut ke rantau Asia yang kemudiannya merebak ke Melaka. Sejarah menyebut bahawa pendidikan Islam pada awal usianya mula diajar di rumah-rumah guru, kemudian berpindah ke masjid, surau, madrasah sebelum berpusat sepenuhnya di sekolah pondok.
Institusi pengajian pondok adalah institusi pendidikan yang tertua di Tanah Melayu. Namun, tidak ada sebarang bukti atau catatan yang jelas yang menyatakan tarikh sebenar kewujudan institusi ini. Apa yang pasti, sekolah pondok muncul tanpa dirancang. Ia berkembang dek kerana sambutan orang ramai yang dahagakan ilmu yang datang ke satu-satu tempat untuk belajar dengan Tok Guru mereka.



Beberapa Pendapat Tentang Asal-usul Sekolah Pondok:
Walau bagaimanapun, ada pendapat yang mengatakan bahawa institusi pengajian pondok berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Pendapat ini adalah bertunjangkan bahawa Pattani merupakan Pusat Pelajaran Agama dan Kebudayaan Melayu yang terkenal pada abad ke 16 dan 17 Masihi. Alasan lain yang menjadi asas kepada pendapat ini adalah kerana ramai ulama’ Pattani menyusun kitab-kitab Jawi yang digunakan di pondok-pondok. Kebanyakan mereka menggunakan dialek Pattani sewaktu menyampaikan pengajaran di sekolah-sekolah pondok yang terdapat di negeri Kedah dan Perak.
Pendapat kedua menerangkan bahawa Pondok berasal dari Kelantan, Indonesia berdasarkan beberapa buah kitab Jawi terjemahan ulama’ Banjar dan Jawa yang dibawa dan dijadikan rujukan di pondok-pondok. Di utara Semenanjung Malaysia terdapat beberapa orang Tok Guru yang mendapat pendidikan dari Pattani dan Indonesia. Antara ulama’ yang mendapat pendidikan di Pattani adalah Haji Zainal atau Tuan Minal dari pondok Sungai Dua (1875), Haji Mahmud Taib dari pondok Kubang Semang, Seberang Prai Tengah (1920).

Contoh ulama’ yang mendapat pendidikan di Indonesia ialah Haji Mahmud Taha dari Pondok Alor Belat, Butterworth (1880), mendapat pendidikan awalnya di Sumatera. Manakala tokoh-tokoh ulama’ lain adalah seperti Ibrahim Acheh dan Tok Sheikh Acheh dari pondok Permatang Jagus, Kepala Batas (1885), Fakih Daim dari pondok Sungai Deraka, Seberang Prai Tengah (1880) dan Haji Salleh al-Misri dari pondok al-Misriyyah (1906).


Maksud Perkataan "Pondok".


Perkataan “pondok” adalah perkataan bahasa Arab, فندوق yang bermaksud khemah, hotel, tempat menginap ataupun tempat persinggahan sementara bagi para pengembara. Istilah ini lebih terkenal sebagai tempat tinggal yang dihuni oleh para penuntut ilmu. Kamus Dewan pula memberi erti “pondok” sebagai madrasah atau tempat belajar agama. Di Indonesia, terdapat beberapa nama yang diberikan kepada pondok, umpamanya “pesantera”. Ia membawa maksud pelajar agama. Pesantera merupakan tempat berkumpul dan penginapan bagi para santri di mana ia membentuk sekumpulan rumah yang mengelilingi masjid atau rumah tuan guru.
Di Madura, istilah “Penjentren” digunakan sebagai gantian istilah “pondok”. Istilah “Rangrang” pula digunakan oleh penduduk di Acheh, perkataan “surau” untuk penduduk di Minangkabau, manakala di Sumatera pula, penduduknya menggunakan istilah “Langgar”. Walaupun istilah yang digunakan adalah berbeza, namun ia tetap membawa erti yang sama iaitu deretan rumah-rumah kecil yang menjadi tempat menginap bagi pelajar-pelajar pengajian agama.

Rupa Bentuk Sekolah Pondok.
Rupa bentuk pondok di Tanah Melayu tidak banyak bezanya dengan pondok yang terdapat di Indonesia. Ia dibina menggunakan buluh. Terdapat juga pondok-pondok di kampung-kampung yang diperbuat daripada bahan kayu, mempunyai tiang dan bertangga.
Tangga-tangga pondok ini dihubungkan ke perigi oleh deretan batu-batu titian. Ia memudahkan pelajar untuk bersuci tanpa bersepatu sebelum terus menuju ke pondok masing-masing. Sebilangan besar sekolah-sekolah pondok di Tanah Melayu dibina di kawasan penanaman padi misalannya di negeri Kedah dan Kelantan.


Sistem Pendidikan di Sekolah Pondok.
Jika dilihat dari sudut struktur pendidikan, pembelajaran pondok adalah berbentuk tradisional. Tiada had umur, jantina atau kebolehan tertentu yang diselaraskan bagi calon-calon pelajar yang berkeinginan belajar di institusi ini kecuali dua perkara, iaitu boleh membaca tulisan Jawi dan boleh membaca al-Quran. Setiap orang sama ada lelakki atau perempuan, tua ataupun muda berhak belajar di institusi ini. Tidak ada sebarang yuran pengajian yang dikenakan sama ada bayaran bulanan ataupun tahunan. Tempoh pengajian pula bergantung kepada keupayaan pelajar itu sendiri. Jangka masa minimum adalah dua tahun, manakala jangka masa yang paling maksimum adalah sepuluh tahun.
Sistem penilaian seperti peperiksaan tidak diwujudkan sebaliknya seseorang pelajar dibolehkan menyambung ke peringkat yang lebih tinggi berdasarkan kemampuannnya memahami pelajaran atau kitab yang baru dipelajari. Kebolehan akan dinilai dan akuan guru merupakan syahadah yang tidak ternilai dan tidak ditolak oleh mana-mana pihak pun. Bagi membuktikan kebolehan tersebut, pelajar hendaklah mempraktik dan mengamalkan setiap titis ilmu yang dipelajari. Bagi pelajar-pelajar yang agak lemah, mereka dikehendaki mengulangi semula pelajaran tersebut sehinggalan mereka boleh menguasainya dengan baik sebelum menyambung ke peringkat seterusnya. Jadi, jelaslah menunjukkan, bahawa tiada istilah keciciran dan tiada pula konsep mengejar gred dan mata dalam memperoleh sebutir “syahadah” dalam sistem pengajian pondok.
Waktu pembelajaran di semua institusi pondok adalah hampir serupa. Para belajar belajar tiga kali sehari; pagi, petang dan malam. Waktu pembelajaran untuk sesi pagi ialah seusai solat Fajar sehingga jam 12.00 tengahari. Waktu untuk sesi petang pula adalah sebaik menunaikan solat Zohor sehingga masuknya waktu solat Asar. Manakala waktu pembelajaran pada sebelah malam bermula selepas menunaikan solat Maghrib sehinggalah waktu Isyak.
Walaupun nampak tidak sistematik, para pelajar di institusi ini masih mampu meningkatkan pengetahuan dan menguasai pelajaran agama yang diperolehi daripada para tok guru mereka berbekalkan semangat juang dan cintakan ilmu yang tinggi. Melalui perolehan ilmu ini, mereka semua layak mendapat gelaran alim ulama dan mampu untuk memegang jawatan sebagai muazzin atau bilal, tok imam, ustaz, kadi, ketua kampung, penggawa ataupun penghulu mukim. Apa yang pasti,masyarakat setempat sentiasa memandang tinggi terhadap golongan yang mempunyai ilmu agama yang tinggi seperti mereka sebagai penyambung warisan alim ulama yang kian uzur dimamah usia.

Pemeringkatan dari satu tahap ke satu tahap dinilai berasaskan kepada kitab-kitab yang dibaca oleh para penuntut ilmu. Murid-murid yang lebih tua atau senior akan menjadi “kepala mutalaah” atau pun guru penolong kepada murid-murid di peringkat permulaan. Disebabkan tidak ada peringkat-peringkat yang jelas dalam sistem pengajian pondok, maka tidaklah terdapat sistem penilaian seperti peperiksaan dan sebagainya.
Mengenai mata pelajaran pula, ia meliputi bidang ilmu syarak dan ilmu alat contohnya Fiqh, Usul al-Fiqh, Tafsir, Hadis, Mustalah Hadis, Tauhid, Tajwid, Sirah dan Tasawuf. Manakala mata pelajaran dalam ilmu alat pula adalah merangkumi bidang-bidang Nahu, Saraf, Balaghah, ilmu Caruf, ilmu Qaurafi dan ilmu Falak. Pengajajian ilmu-ilmu ini dijalankan dalam Bahasa Arab kerana ia adalah satu langkah untuk memahami ilmu-ilmu agama. Namun begitu, aspek-aspek latihan untuk berkomunikasi seperti Insyak dan Mutalaah kurang diberi perhatian. Di samping itu, mata pelajaran umum dan bahasa asing seperti Bahasa Melayu juga tidak diajar dalam sistem pengajian pondok.
Daripada maklumat di atas, kita dapat melihat bahawa tidak terdapat peringkat pengajian yang jelas dalam sistem ini. Oleh yang demikian, mata pelajarannya juga tidak berpandukan sukatan tertentu tetapi hanya bergantung kepada kitab-kitab mata pelajaran semata-semata. Semua kitab yang digunakan adalah berautoriti yang mana ia juga menjadi rujukan di pusat-pusat pengajian tinggi umpama Universiti al-Azhar di Mesir. Kitab bagi mata pelajaran Fiqh pula adalah bersandarkan fahaman Imam Syafi’ie sahaja.

Kaedah-kaedah Pengajaran di Sekolah Pondok.
Setelah jelas dengan mata pelajaran dan kitab-kitab yang digunakan, sekarang kita soroti pula kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dalam sistem pengajian pondok. Kaedah yang pertama adalah penerangan atau penyampaian. Dalam kaedah ini, guru akan membaca kitab sebelum mensyarahkannya. Manakala murid di dalam kitab akan menadah kitab yang sama sambil membuat catatan dalam kitab tersebut.
Yang kedua pula ialah pendekatan “موحد” ataupun dikenali sebagai pendekatan bersepadu. Biasanya pendekatan ini digunakan ketika mengajar Bahasa Arab. Guru akan menterjemahkan ayat-ayat dari kitab Fiqh secara harfiah terlebih dahulu sebelum menerangkannya dengan lebih jelas kepada murid. Semasa mengajar, guru juga akan menjelaskan aspek-aspek Nahu, Saraf, Balaghah dan Uslub bagi mendekatkan lagi murid dengan Bahasa Al-Quran. Selain dua kaedah yang telah disebut, guru juga mengamalkan kaedah hafazan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada peringkat permulaan, murid akan menghafaz kitab-kitab yang dikarang secara ringkas umpamanya kitab “متن” dan “مختصر”.
Secara keseluruhannya, guru-guru yang mengajar di sekolah pondok adalah mereka yang pernah mendapat pendidikan di sekolah pondok juga, sama ada di dalam Malaysia ataupun di luar negara umpamanya Mekah atau Mesir. Guru-guru ini lazimnya tidak pernah mendapat latihan khusus tentang kaedah-kaedah pengajaran, sama ada kaedah lama atau pun kaedah baru. Mengenai gaji pula, para guru di institusi ini tidak mendapat sumber pendapatan yang tetap sebaliknya bergantung kepada harta atau usaha sendiri, harta wakaf, ataupun sumbangan orang ramai.

Kedudukan Rumah Guru.
Jika kita berbicara tentang kedudukan rumah guru, kita akan mendapati bahawa, ia adalah hampir dengan masjid. Sikap ketagihan ilmu yang kian dalam, menambah bilangan para penuntut ilmu memaksa masyarakat setempat membenarkan guru-guru menyampaikan pelajaran di masjid berdasarkan waktu-waktu yang telah ditetapkan. Rentetan dari keadaan ini, kita dapat melihat susun lapis institusi pengajian pondok adalah terdiri daripada rumah guru, surau dan kadang-kadang terdapat masjid.


Di antara ruang-ruang bangunan ini, terbina rumah-rumah kecil yang dipanggil pondok yang menjadi tempat kediaman para pelajar. Semua bangunan ini dibina berdekatan dengan rumah guru atau surau untuk memudahkan mereka melaksanakan aktiviti pengajaran dan ibadat, selain untuk memudahkan pengawalan pelajar.
Jika dibandingbeza dengan struktur pengajian di zaman Rasulullah S.A.W., kita dapat merumuskan bahawa ianya hampir sama. Ini terbukti jelas dengan keadaan yang berlaku di Masjid Quba yang diasaskan sendiri oleh Baginda Rasulullah. Sejarah menyatakan bahawa beberapa orang penduduk Semenanjung Tanah Arab telah mendirikan khemah-khemah yang sederhana di sekitar masjid tersebut. Khemah-khemah ini didirikan sebagai tempat tinggal sementara pelajar yang mahu mendalami ilmu-ilmu Islam yang bertunjangkan kitab Al-Quran dan As-Sunnah. Pengajaran ketika itu disampaikan sendiri oleh bapa pendidik kita yang ulung yakni Rasulullah S.A.W.
Penubuhan Sekolah Sekular oleh British.
Sewaktu penjajahan British ke Tanah Melayu, sekitar tahun 1990, British telah menaja sekolah-sekolah berbentuk sekular. Keadaan ini telah mewujudkan persaingan ke atas sekolah pondok. Pelbagai cara telah digunakan oleh British bagi menarik minat rakyat ketika itu untuk bersekolah di sekolah sekular. British menguatkan lagi hujah mereka dengan mengatakan bahawa sistem pengajain pondok adalah bersifat primitif berdasarkan mata pelajarannya yang tidak sama dengan apa yang diajar di sekolah Inggeris. Walaupun mencuba pelbagai cara dan daya, ia tidak sedikit pun menggerakkan hati rakyat untuk berpindah ke sekolah sekular sebaliknya meneruskan pengajian mereka di sekolah pondok.
Sekolah pondok semakin mendapat sambutan ramai selepas tahun 1930. Ini jelas terbukti apabila bilangan murid yang kian bertambah terutamanya di Pondok Terusan Pasir Tumboh, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Kubang Bemban. Keadaan ini berterusan dari tahun 1950 hinggalah 1970.
Secara kasarnya, kita dapat melihat era kegemilangan sekolah pondok yang semakin hari semakin mendapat tempat tempat di hati rakyat. Namun begitu, jika diamati pada tahun 1945, sebenarnya sistem pengajian pondok telah mengalami kemalapan. Ini berikutan kedatangan Jepun ke Tanah Melayu. Keadaan bertambah buruk apabila terdapat sekolah pondok yang terpaksa ditutup dan ada juga yang menukar sistem pengajian kepada sistem sekolah. Misalannya, pada tahun 1958, Pondok Bunut Payung, Kota Bharu bertukar nama kepada Madrasah Islamiyah manakala pada tahun 1970, Pondok Haji Mohd Noor Kampung But menjadi Madrasah Saadah Qura.
Kajian menunjukkan, di antara sebab yang yang menjurus ke arah kemunduran institusi pondok adalah kerana timbulnya perubahan-perubahan dalam perkembangan Islam di negeri Kelantan. Pada masa tersebut, institusi pondok terpaksa bersaing dengan sekolah-sekolah Agama (atau dipanggil Arab) Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Masyarakat telah menerima baik penubuhan sekolah-sekolah ini. Atas sebab itu, pihak MAIK semakin mempertingkat usaha membaiki sistem persekolahan dalam bidang pendidikan dan hasilnya, tertubuhlah Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan pada 1 Oktober 1965. Faktor lain yang menjurus kepada kemerosotan sistem pengajian pondok ialah kerana perubahan politik negara ini, persaingan dengan sistem pendidikan moden, perubahan sosio-budaya masyarakat dan faktor dari dalam pondok itu sendiri, seperti tiada pengganti yang berwibawa selepas ketiadaan pengasasnya.


Sistem Pengajian Pondok Selepas Merdeka

Jika disoroti sejenak, Pendidikan Islam sebenarnya telah beroperasi di bawah zaman penjajahan selama lebih 400 tahun sehinggalah muncul Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960. Kedua-dua penyata ini ada menyebut untuk meletakkan mata pelajaran Pendidikan Islam dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Pernyataan tersebut telah dipersetujui maka pada tahun berikutnya, Akta Pelajaran 1961 telah memuatkan mata pelajaran Pendidikan Islam dalam jadual waktu persekolahan dengan diberi peruntukan masa sebanyak 120 minit seminggu.
Pada hujung tahun 1960-an hingga awal 1970-an, beberapa orang pelajar telah bangkit mengemukakan usul, memohon agar masa untuk mata pelajaran Pendidikan Islam ditambah. Selain itu, mereka juga menuntut agar mata pelajaran tersebut turut diajar di maktab-maktab perguruan, manakala subjek Agama Islam dan Tamadun Islam hendaklah diperkenalkan di pusat-pusat pengajian tinggi. Sebuah universiti Islam perlu diwujudkan dalam negara dan mata pelajaran Agama Islam hendaklah diwajibkan dalam peperiksaan awam bagi memartabatkan lagi agama rasmi ini.
Menurut sumber, golongan yang bersuara dan mengemukakan cadangan-cadangan tersebut adala golongan yang terpelajar yang mendapat pendidikan di di sekolah menengah kebangsaan dan sekolah berasrama penuh. Di samping itu, kegiatan Angkatan Belia Islam (ABIM) yang aktif memperjuangkan Islam ketika itu telah meletakkan Pendidikan Islam di tempat yang tinggi, yakni tempat asalnya dalam masyarakat Melayu. Bukti semangat perjuangan ABIM boleh dilihat melalui tunjuk perasaan yang pernah dilakukan di hadapan pintu menara gading.
Setelah puas menyatakan hasrat, akhirnya permintaan pelajar-pelajar tersebut dikabulkan oleh pemerintah ketika itu. Ia berlaku pada akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an di mana Maktab Perguruan Islam dan sebuah Universiti Islam telah ditubuhkan. Mata pelajaran Pengajian Islam (Tamadun Islam) juga telah dijadikan mata pelajaran wajib di peringkat tinggi. Hasrat hati pelajar-pelajar tersebut terus diterima dengan hati yang terbuka berikutan pertambahan waktu mata pelajaran Pendidikan Islam daripada 120 minit kepada 240 minit seminggu.
Martabat agama Islam terus dilonjak, menyaksikan slogan “kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan” sebagai salah satu teras dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) bermula tahun 1980. Di samping itu, pernyataan “melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani” yang termuat dalam FPN adalah bukti jelas yang menunjukkan keprihatinannya dalam melahirkan rakyat Malaysia yang sentiasa taat dan patuh kepada ajaran Allah.
Sebaik tindakan ini dilakukan oleh FPN, maka keseluruhan Struktur Kurikulum Pendidikan Kebangsaan telah diubahsuai supaya setiap subjek yang diajar di peringkat sekolah akan memegang kuat cita-cita FPN tersebut. Caranya ialah dengan menerapkan nilai-nilai murni, aqidah dan syariat Islamiyyah dalam pendekatan pengajaran contohnya dalam mata pelajaran Sains dan Geografi. Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) juga terus berkembang di seluruh negara. Bagi sekolah-sekolah menengah kebangsaan pula, wujud beberapa mata pelajaran elektif (pilihan) umpamanya Tasawur Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiyyah. Dari sini, dapatlah difahami bahawa Pendidikan Islam semakin lama semakin mendapat perhatian negara.

Faktor-faktor yang Menyebabkan Sekolah Pondok Kekal.
Sebelum ini, kita juga telah melihat sejarah perkembangan sistem pengajian pondok yang pada mulanya mendapat sambutan tetapi kian merosot permintaannya berikutan kewujudan sekolah-sekolah sekular dan sekolah-sekolah agama. Walaupun institusi ini mengalami pasang surut, para alim ulama dan guru tidak pernah berpatah hati berputus harap sebaliknya terus berusaha memperjuang institusi warisan Rasulullah S.A.W. ini. Hal ini terbukti apabila sistem pengajian pondok mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-20. Kejayaan ini adalah hasil usaha para alim ulama terdahulu yang telah berjaya melahirkan ramai anak murid berkebolehan dan menanam semangat kecintaan mereka dan masyarakat terhadap agama Allah.
Sebab lain yang mendorong masyarakat menerima semula institusi ini adalah kerana kitab-kitab yang digunakan telah diterjemah oleh para guru yang mahir. Tambahan pula, kitab-kitab tersebut tidak lagi ditulis tangan tetapi dicetak. Dengan adanya kitab-kitab bercetak ini, masyarakat dapat mengikuti “halaqah” pengajian agama di pondok-pondok mahupun di masjid-masjid. Kewujudan kitab yang dicetak dan dikarang dalam Bahasa Melayu telah membantu perkembangan institusi pondok menjadikan ia sebuah institusi yang paling terkenal dengan pengajaran agama.

Tahun demi tahun berlalu, pusat pengajian pondok telah mengalami era kebangkitan semula setelah sekian lama dipulaukan. Demi mempertahankan fungsinya sebagai pusat pengajian agama yang paling berkesan, Pada tahun 1981, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan telah diserapkan ke dalam Universiti Malaya dan dikenali dengan Akademi Pengajian Islam. Manakala pada tahun 1995, para guru dan alim ulama telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB). Pusat yang dibina di Kelantan itu adalah bermatlamat untuk membangunkan pondok-pondok yang bernaung di bawahnya samaada dari aspek pentadbiran pondok, kemudahan asas ataupun guru-guru yang yang mengajar. Antara sekolah-sekolah pondok di bawah naungan PPPB ialah:
1) Madrasah Diniah Bakriah (Pondok Pasir Tumbuh)
2) Madrasah Rahmaniah (Pondok Lubuk Tapah)
3) Madrasah Muhammadiah (Pondok Sungai Durian)
4) Madrasah Yusufiah (Pondok Gelang Mas)
5) Madrasah Fununiah Tunjuniah (Pondok Tunjung)
Warna kegemerlapan institusi pondok semakin terlakar indah dan jelas kelihatan apabila ia melahirkan ramai cendekiawan terkenal di rantau ini. Walaupun sistem pendidikan moden tumbuh bagai cendawan selepas hujan, ini sedikit pun tidak menggugat sistem pengajian pondok secara keseluruhannya. Para pencinta dan pendokong institusi pondok masih mengekalkan sistem pengajian pondok yang asal, dan ada juga yang menggabungkan kedua-dua sistem persekolahan dan sistem pengajian pondok, dikenali sebagai “sistem ala-pondok”. Di antara sekolah-sekolah pondok yang masih mengekalkan identiti dan sistem pengajian tradisional adalah Pondok Pasir Tumbuh Kota Bharu, Pondok Sungai Durian Kuala Krai dan Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas.
Walaupun begitu, terdapat sedikit pengubahsuaian dari sudut kurikulum dan kokurikulum dalam sistem pengajian pondok. Umumnya, kurikulum di sekolah pondok selepas merdeka mengandungi empat tahap:
Tahap 1 : Mengenal al-Quranul Karim.
Tahap 2 : Belajar kitab-kitab Jawi kecil dan asas Bahasa Arab
Tahap 3 : Belajar kitab-kitab Jawi besar dan kitab Arab kecil
Tahap 4 : Menghabiskan kitab-kitab.
Seperti juga kaedah yang digunakan sebelum merdeka, seseorang pelajar akan didedahkan kepada kitab yang rendah (asas) sebelum berpindah ke kitab yang besar. Berkaitan dengan kokurikulum pula, para pelajar akan diajar cara-cara untuk bersyarah, berzanji, berzikir, menjadi Imam solat dan menyampaikan ceramah atau tazkirah. Tidak terhad dengan itu, para pelajar juga didedahkan dengan kerja-kerja kebajikan yang membabitkan masyarakat setempat.
Nyata, sistem pengajian pondok sudah mengambilkira keperluan semasa dengan mendedahkan pelajar kepada aktiviti-aktiviti sosial. Bermuamalah dengan orang sekeliling adalah salah satu cara mereka berdakwah selain cara berpakaian dan perilaku yang sopan yang mampu menjadi teladan terutama kepada golongan belia di luar sana. Semoga usaha yang dilakukan oleh warga sekolah pondok ini tidak terhenti di tengah jalan dan terus bernafas demi menaikkan lagi nama institusi tersebut dan seterusnya meningkatkan penguasaan mereka dan masyarakat sekeliling terhadap agama Allah.

Kesimpulan
Institusi pondok terus tersergam indah dengan wajah-wajah generasinya yang berganti-berganti, mereka dinilai sebagai penyambung warisan para ulama. Sejarah telah menceritakan bagaimana institusi warisan Rasulullah S.A.W. ini telah mengalami jatuh bangun sehingga ada sebilangan sekolah pondok terpaksa ditutup. Sejarah juga menyatakan tentang jerit perih para alim ulama yang bergadai usaha dan tenaga demi menyelamatkan institusi ini Semuanya hanya kerana satu matlamat; memartabatkan agama Allah.
Hari ini, kita boleh lihat kewujudan sekolah pondok di kebanyakan negeri. Setiap satu tetap menjunjung cita yang sama, dari dulu, kini dan selamanya, yakni melahirkan generasi celik al-Quran dan cintakan Islam. Namun, kita bimbang matlamat ini hanya tinggal cebisan kata-kata kerana masyarakat sekarang fikirannya sudah jauh berbeza dibandingkan dengan masyarakat dahulu. Kalau dulu sekolah pondok ini diagung dan dipuja, tapi sekarang sekolah pondok semakin dilupa kerana mereka lebih mementingkan pendidikan yang lebih moden. Tidaklah menjadi suatu kesalahan untuk menghantar anak-anak ke sekolah biasa kerana manusia punya pilihan. Sekolah harian biasa juga ada kelebihannya sendiri. Tetapi jauh dari itu, jika difikir dalam-dalam, sebenarnya hal ini menyebabkan negara semakin tandus pimpinan ulama.

Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menyebarkan dakwah Islam secara terus dan telus kepada masyarakat kalau bukan mereka? Di mana lagi tempat untuk melahirkan golongan agama serupa ini kalau bukan di sekolah-sekolah pondok? Bila lagi mahu si anak menjadi insan yang mampu menghafaz dan mengamalkan al-Quran kalau tidak dari sekarang?
Memang tepatlah apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W:
" Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai peminpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."
Semoga kita semua dapat menjadikan hadis ini sebagai pedoman dan perhatian. Kalau bukan orang Islam sendiri yang mempertahankan institusi pondok, siapa lagi. Adalah diharapkan agar institusi ini terus mendapat tempat di jiwa masyarakat supaya agama Islam terus gah di hati rakyat, di mata dunia.

Rujukan

Buku:
Choon Lean Keow, 2008, Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Subang Jaya, Selangor.
Haji Abdullah Ishak, 1995, Pendidikan dan Pengaruhnya di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor Darul Ehsan
Ismail Ab. Rahman, 1992, Pendidikan Islam Malaysia, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor Darul Ehsan
Internet:
http://www.al-bakriah.com.my
http://kongrespendidikan.blogspot.com
http://www.iluvislam.com
http://melayu-pipi.tripod.com

http://mohamadzahrawi.blogspot.com
http://riwayat-hidupku.blogspot.com
http://tunteddy.blogspot.com