Selamat Membaca :)

Selamat Membaca :)

Tuesday 26 April 2011

Peranan Aqidah dalam Memantapkan Iman


PENDAHULUAN
Sesungguhnya agama Islam mempunyai matlamat yang tinggi iaitu melahirkan Muslim yang Mukmin dan bukannya Muslim yang Islam atas nama sahaja. Setiap Muslim sudah maklum bahawa aqidah Islam itu wajib dipegang, dipupuk dan dikembang demi memperoleh iman yang mantap lagi mapan. Namun begitu, ada segelintir masyarakat kita yang menyalahertikan maksud aqidah. Pada mereka, apa jua aqidah yang dipegang adalah betul dan boleh digunapakai sehingga akhir nyawa. Natijahnya, ramai masyarakat kita pada hari ini hidup dalam keadaan yang jauh terpesong dari Allah kerana menyangkakan mereka sudah berpegang pada aqidah yang betul.

1. KONSEP AQIDAH
Sebelum memilih sesuatu jalan, adalah lebih baik untuk diselidiki terlebih dahulu jalan tersebut supaya tidak tersesat. Begitulah diibaratkan dengan pegangan seseorang, jika salah dipilih maka akan musnahlah kehidupan. Oleh itu mari kita selami pengertian aqidah yang betul dari sisi agama Islam. Menurut Dr. Umar Al-Asyqar, perkataan aqidah berasal dari perkataan "عَقَدَ" yang bermaksud ikatan. Ia adalah lawan kepada perkataan “lepas”. Rangkai kata "عَقَدَ" pula membawa maksud memastikan atau mengukuhkan sesuatu.
Dari segi syarak’ pula, aqidah bermakna segala perkara yang dengannya dapat dipercayai sepenuhnya (Tasdiq) hingga kepadanya boleh menenangkan hati dan perasaan. Kedudukan aqidah setaraf dengan keyakinan yang sama sekali tidak bercampur dengan syak, keraguan dan kebimbangan. Keyakinan ini pula hendaklah sentiasa berpaksikan kepercayaan kepada Allah kerana Dialah Allah, pemilik hati kita dan Yang Empunya agama agung yakni Islam.
Istilah “aqidah Islam” membawa erti kepercayaan dan keyakinan terhadap Yang Maha Pencipta selain pengakuan bahawa Allah itu adalah Robb dan Ilah. Namun, aqidah Islam masih tidak lengkap jika seseorang itu tidak menaruh kepercayaan secara seratus peratus terhadap nama-nama Allah, sifat-sifatNya selain mempercayai rukun-rukun Iman yang lain iaitu berriman kepada Malaikat, Kitab-kitab, para Rasul, Hari Kiamat dan qadak qadar Allah.

2. SYAHADAH.
Persoalannya, dari mana harus dimulakan? Adakah semua orang itu layak digelar Muslim yang Mukmin kerana sudah berpegang kepada aqidah Islam? Soalan-soalan ini akan terjawab dengan mudah kerana Islam itu agama yang syumul yang akan membentangkan jawapan tidak kira apa jua masalah yang timbul, apa lagi soal aqidah. Perumpamaannya, seorang yang kafir tidak akan diangkat sebagai Muallaf seandainya dia tidak mampu mengucap syahadah kerana itulah titik mula kepadanya untuk mengenali Islam.
Jika dilihat secara kasar, kalimah syahadah itu pendek dan ringkas sahaja bunyinya, namun ia sebenarnya mengandung makna yang sungguh besar. Syahadah itu adalah suatu ucapan atau pengakuan bahawa Allah itu Maha Esa dan Nabi Muhammad S.A.W pula adalah RasulNya. Cukuplah dengan sebutan “ أَشْهَدُ أَنْ لَّا إِلهَ إِلَّا اللّه وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ”, sebagai bukti seseorang telah mengisytiharkan bahawa dia sudah Muslim yang bersedia untuk memegang jawatan sebagai seorang hamba Allah.
Namun apa jua statusnya, Muslim atau Muallaf, keduanya mestilah tidak memasang keraguan pada lafaz tersebut. Selain perlu memahami maksudnya ia juga hendaklah disusuli dengan amalan-amalan supaya aqidah yang telah diikat, terus tersimpul rapi dalam diri. Ini kerana, kalimah yang dilafaz adalah umpama janji yang diucap antara dia dengan Penciptanya. Jika janji dimungkiri, bermakna ia sedang mengundang murka Allah. Firman Allah Taala yang bermaksud:
" Sesungguhnya mereka hanya berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atasa tangan mereka, maka barang siapa melanggar janji maka sesungguhnya dia melanggar janji sendiri dan barang siapa menepati janjinya kepada Allah, maka Dia kan memberinya pahala yang besar.”
Ayat ini jelas menerangkan tentang hak-hak Allah yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim. Seandainya perkara yang paling asas ini diabaikan, maka akan sukarlah seseorang itu untuk melakukan ibadah yang lain."
3. RUKUN IMAN.
Setelah lafaz syahadah dimeterai, itu bukan bermakna imannya sudah cukup sempurna. Syahadah itu hanyalah pembuka jalan ke arah meraih gelaran Mukmin. Oleh sebab itu, Islam sudah menyediakan enam Rukun Iman yang wajib dipercayai dan dihayati sepanjang hayat.
3.1: Beriman Kepada Allah.
Beriman kepada Allah adalah rukun yang paling utama. Ia bermaksud membenarkan dengan yakin bahawa Allah itu wujud dari segi zat mahupun perbuatan dan meyakini bahawa Allah itu memiliki sifat-sifat kesempurnaan yang tidak dimiliki oleh makhluk-makhlukNya. Allah ada menyebut dalam surah al-Baqarah ayat 21 mafhumnya:
“ Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang Telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.”
Ayat ini menyeru supaya menyembah Allah kerana ia akan membantu seseorang untuk meraih taqwa dan makrifah Allah. Dalam konteks aqidah Islam, makrifah Allah itu didirikan dengan tiga tunjang utama: Tauhid Rubbubiyah, Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Asma’ wa Sifat.
Tauhid Rububiyyah ialah mempercayai bahawa Allah itu Maha Pencipta yang mempunyai kuasa pemerintahan dan pentadbiran. Ia juga sebuah pengakuan tentang kuasa Allah yang bisa menghidup, memati, memberi dan menarik balik rezki atau kemuliaan. Manakala Tauhid Uluhiyyah bermaksud mengesakan Allah dalam setiap ibadat yang dilakukan. Dalam erti kata yang lain, setiap amalan yang dilakukan hendaklah disertakan niat yang ikhlas kerana Allah. Ia menuntut setiap Muslim untuk bergantung sepenuhnya kepada Allah dengan perasaan yang rendah diri, berharap, takut dan yakin kepadaNya. Tauhid Asma wa Sifat pula bererti memahami dan menghayati semua nama dan sifat-sifatNya yang luhur.



3.2: Beriman Kepada Malaikat.
Perbincangan yang lepas telah menjelaskan tentang 3 paksi utama yang perlu dipegang untuk mempercayai dan mengenali Allah. Seandainya kepercayaan yang ditaruh tidak kukuh, maka tidak mustahil genggaman itu akan terlerai bila-bila masa. Ini akan menyukarkan jalannya untuk beriman kepada rukun-rukun yang seterusnya.
Rukun iman yang kedua ialah beriman kepada Malaikat. Maksudnya, seorang Muslim itu wajib percaya bahawa Allah telah menjadikan Malaikat daripada cahaya, tidak bernafsu, tidak berjantina, tidak berkahwin dan berketurunan dan tidak makan dan minum. Malaikat juga adalah makhluk Allah yang paling taat dan tidak pernah sekalipun mereka akan menderhaka.
Sememangnya menjadi suatu kesukaran bagi seseorang untuk percaya apalagi beriman kepada benda-benda yang tidak boleh dilihat. Namun, sekiranya dia betul-betul menanam keyakinan yang teguh, dia akan merasakan kewujudan Allah dan Malaikat walau ke mana sahaja dia pergi. Selain itu, banyak hikmah yang akan dinikmati jika dia meyakini bahawa setiap Malaikat itu mempunyai tugas dan peranannya masing-masing.
Di antara hikmah yang tersirat ialah, seseorang itu akan cenderung untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Ini kerana dia sentiasa berasa diperhati dan diawasi oleh Malaikat pencatat, Roqib dan ‘Atid. Setiap butir bicara yang lahir dari hati ataupun lisan akan ditulis, mungkin sebagai pahala yang memutih atau mungkin jua sebagai dosa yang menggelapkan jiwa.
Selain dapat merasakan kehadiran kedua-dua “pengawas” ini, seseorang juga akan sentiasa mempersiapkan diri untuk bertemu Allah. Dia yakin bahawa sampai satu masa dia akan “dipanggil” oleh Malaikat Izrail Si Pencabut Nyawa. Setelah memasuki alam barzakh, dia yakin bahawa dia akan disoal pula oleh Malaikat Mungkar dan Nakir.
Kepercayaan yang kuat terhadap kedudukan Malaikat dan peranan yang disandang akan membuatkan seseorang sentiasa memperlengkapkan diri dengan amalan-amalan kebaikan. Itu menandakan dia benar-benar yakin akan janji Allah.


3.3: Beriman Kepada Kitab.
Setelah seseorang telah yakin dengan kewujudan Allah dan para Malaikat, dia perlu yakin pula dengan kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah. Mungkin masih ramai yang keliru dengan mengatakan bahawa kitab al-Quran sahaja yang dibekalkan kepada Nabi untuk menjadi panduan kepada segenap manusia. Allah ada menyebut dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 213:
"Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), Maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi Keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan."
Ayat ini menerangkan bahawa Allah mengutuskan para Nabi untuk menyebarkan berita-berita gembira dan khabar-khabar yang benar. Bersama mereka, Allah bekalkan kitab-kitab yang bernama Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran. Kitab Zabur diturunkan untuk Nabi Daud a.s dalam Bahasa Qibti. Kitab Taurat pula untuk umat Nabi Musa a.s, datangnya dalam Bahasa Ibrani. Manakala kitab Injil yang berbahasa Suryani diutuskan buat Nabi Isa a.s. Kesemua kitab ini mengandungi hikmah, pesanan, kisah dan nasihat-nasihat daripada Allah.
Walaupun begitu, hanya satu kitab yang wajib dibaca, dihayati dan dipercayai sehingga kini iaitu kitab al-Quran. Ia merupakan mukjizat yang paling agung yang dianugerahkan buat kekasih Allah, Nabi Muhammad S.A.W. Kitab ini adalah kitab yang tinggi martabatnya dan paling suci berbanding kitab-kitab yang lain. Allah mengangkat darjat kitab ini kerana isi dan kandungannya yang tidak pernah berubah walaupun ramai cendekiawan Barat yang tidak pernah berputus asa berusaha untuk mengubahnya.
Indahnya al-Quran kerana bahasanya dan hebatnya al-Quran kerana ajarannya. Tiada kitab lain yang mencapai tahap syumul kecuali al-Quran, kalamullah. Oleh sebab itulah setiap Muslim wajib mempelajari dan mengamalkannya supaya ia mampu menjadi sinar kepada kehidupan seharian.

3.4: Beriman Kepada Rasul.
Seterusnya, seseorang Muslim wajib menaruh keimanan terhadap para Nabi dan Rasul. Sebabnya ada dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 165:
“(Mereka kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar supaya tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Betapa baiknya Allah kerana Dia mengutuskan para Nabi dan Rasul sebagai pemberi tunjuk ajar dan ingatan kepada umat masing-masing. Mereka menggalas tanggungjawab yang sungguh besar iaitu mengajak manusia ke arah kebenaran dan mencegah manusia dari berbuat kemungkaran. Ini kerana mereka adalah “orang tengah” di antara Allah dengan umat manusia seluruhnya.
Para Nabi dan Rasul akan menyampaikan apa jua wahyu yang diturunkan oleh Allah. Mereka akan menginterpretasi segala yang tersurat dan tersirat supaya setiap yang mendengar akan yakin dengan apa yang dibawakannya. Ini bukanlah suatu tugas yang mudah memandangkan Islam adalah suatu agama yang baru bagi mereka, apatah lagi mereka diajak untuk menyembah Tuhan yang mereka sendiri tidak nampak.
Begitulah peranan yang perlu dipikul oleh para Nabi dan Rasul. Semuanya perlu melaksanakan tugas yang sama, dan akan diuji dengan cabaran dan rintangan yang bermacam rupa. Namun, apa yang mereka alami, tidaklah sehebat apa yang dihadapi oleh utusan Allah yang paling akhir. Baginda adalah Nabi Muhammad S.A.W., Rasul kesayangan Allah. Hadirnya Baginda memegang amanah yang sama, bezanya Nabi agung ini diutuskan untuk seluruh manusia. Firman Allah dalam surah al-Anbiya’ ayat 107 bermaksud:
“Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”
Jelasnya, Nabi Muhammad menggalas taklif yang lebih besar, dengan bilangan mad’u yang lebih ramai dan ujian yang lebih berat. Oleh sebab itu, Baginda diangkat menjadi kekasih Allah kerana jasanya yang tiada tara. Justeru, setiap Muslim bukan sahaja wajib beriman dengan kehadirannya, malah wajib beriman dengan ajaran yang mereka sampaikan.
3.5: Beriman Kepada Hari Akhirat
Hari Akhirat juga digelar sebagai Hari Kiamat atau Hari Kebangkitan. Ia adalah hari di mana alam ini akan dihancur dan dimusnahkan. Setiap yang beragama Islam telah diberitahu oleh para Nabi dan Rasul tentang akan datangnya hari yang dasyat tersebut. Soal bila itu perlu diketepikan kerana yang pasti perkara ini sudah termaktub sejak azali. Firman Allah Taala dalam surah Yasin ayat 51:
“ Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.”
Apa yang boleh dijelaskan di sini ialah sebaik sahaja Malaikat Israfil meniup sangkakala yang pertama, maka sekalian yang hidup akan mati. Manakala tiupannya yang kedua akan membangkitkan kembali mereka binasa dan seterusnya memusnahkan segenap alam. Itu bermakna bahawa kehidupan di dunia sudah tamat dan akan bermulalah kehidupan yang mendamaikan di alam akhirat bagi mereka yang beriman.
Walaupun banyak dalil yang menerangkan tentang Hari Kebangkitan, masih ramai yang ragu-ragu terhadapnya. Ada yang berpendapat itu hanya omong kosong dan tidak kurang juga yang berpendapat berita ini hanyalah sekadar untuk menakut-nakutkan. Apa jua pandangan yang dilontarkan sehingga membuatkan hatinya terdetik untuk menafikan tentang kewujudan hari tersebut, maka dia boleh dianggap kafir sebagaimana firman Allah yang tertulis dalam surah at-Taghabun ayat 7:
“Orang-orang yang kafir mengatakan bahawa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan.”
Jadi, usah biarkan keraguan bersarang di fikiran kerana semua ini adalah urusan Allah. Mahu atau tidak, semuanya akan berhadapan dengan situasi yang menggerunkan ini. Apapun, jika kepercayaan penuh yang diberi, disusuli pula dengan bekalan yang cukup, maka segalanya akan dihadapi dengan tenang.

3.6: Beriman Dengan Qadak dan Qadar
Kehidupan di dunia tidak boleh lari dari ujian, musibah dan takdir. Setiap insan akan menunjukkan pelbagai reaksi dan ragam semasa berhadapan dengan perkara-perkara tersebut. Ini kerana ia bersangkut paut dengan qadak qadar Allah. Qadar ialah suatu ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada setiap makhluk sejak azali. Manakala Qadak pula adalah pelaksanaan terhadap apa yang telah ditetapkan oleh Allah tersebut. Jika digabungkan keduanya, maka ia membawa maksud suatu ketetapan yang dilaksanakan oleh Allah sejak azali.
Masyarakat kita hari ini kebanyakannya masih tidak boleh menerima hakikat yang telah ditentukan Allah. Buktinya, setiap kali seseorang itu ditimpa musibah, pasti responnya kurang elok. Paling kurang pun, dia akan mengeluh. Jika dugaan yang menimpa lebih berat, maka lebih banyaklah kata-kata keji yang keluar, tidak kurang juga yang bertindak melulu seperti orang yang tidak berakal. Semua ini jelas menunjukkan bahawa masih ramai di antara umat Islam yang seolah-olah tidak redha dengan ujian yang datang sekaligus menafikan qadak dan qadar Allah.
Dalam surah al-Anbiyak ayat 35, Allah ada menyatakan:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”
Firman Allah ini membawa tafsiran bahawa tiap-tiap manusia akan ditimpa ujian, samaada dalam bentuk keperitan mahupun kesenangan. Sayyid Qutub dalam bukunya “Di bawah Bayangan al-Quran” menerangkan bahawa kedua –dua bentuk ujian ini didatangkan dengan tujuan supaya manusia itu sentiasa ingat kepada Allah. Malangnya, ada yang beranggapan ujian ini didatangkan hanya untuk menyusahkan. Sepatutnya, ia diambil sebagai iktibar dan pedoman agar hati sentiasa bersih dan bersedia untuk menerima apa jua ketentuan Allah, samaada baik ataupun buruk.


4. KEBENARAN AQIDAH DAN KESANNYA KEPADA IMAN
Perbincangan terdahulu telah mengupas dengan terperinci tentang konsep aqidah, kepentingan syahadah dan keperluan beriman dengan keenam-enam Rukun Iman. Seandainya kesemua perkara ini dipegang dengan erat, pastinya seseorang akan memperoleh satu pegangan aqidah yang benar lagi kukuh. Ikatan aqidah yang teguh pastinya akan memberi kesan yang baik terhadap iman seseorang. Di antara kesan-kesan tersebut ialah:
i) Melahirkan rasa takut kepada Allah.
Apabila seseorang telah melafazkan syahadah لا إله إلا الله dan mendalami maksudnya, secara tidak langsung akan lahir rasa takut kepada Tuhan yang menciptakannya. Dia percaya bahawa Allah ada di mana-mana sahaja, mendengar setiap perkataan, melihat setiap perbuatan dan memerhatinya pada setiap langkah kaki tanpa berhenti. Dia percaya akan firman Allah dalam surah as-Syura ayat 11 yang berbunyi:

“Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang Maha mendengar dan Maha Melihat.”
Dengan kepercayaan yang tinggi terhadap pegangan aqidah Islam ini, seseorang akan bertambah yakin dengan kebenaran ajaran yang disampaikan oleh para Rasul. Kehidupan sehariannya akan disibukkan dengan perkara yang berfaedah dengan menyeimbangkan keperluan dunia dan akhirat. Setiap tutur bicara akan dijaga dan setiap tingkah laku akan dikawal demi menjauhkan diri dari sebarang noda dan dosa. Itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa perasaan takut kepada Allah sudah muncul dalam diri.
ii) Mengelakkan diri dari mengikut hawa nafsu.
Setiap manusia yang kamil dan berakal sentiasa berusaha untuk memperoleh iman yang paling tinggi. Iman ini hanya akan dicapai setelah seseorang itu berpegang teguh kepada aqidah Islam. Semakin kuat pegangan aqidah maka semakin teballah tahap keimanan seseorang terhadap ajaran Islam. Semua orang perlu ada sikap berlumba-lumba untuk meningkatkan keimanan kerana ia merupakan senjata yang paling berharga buat Muslim yang Mukmin.
Seseorang yang sudah meraih iman tidak akan mudah tenggelam dalam lautan tipu daya dunia. Ini kerana, iman yang ada dalam diri telah menjadi benteng penghalang untuk dia mengikut hawa nafsu. Nabi Isa a.s. pernah bersabda maafhumnya:
“Berbahagialah sesiapa yang meninggalkan sesuatu keinginan nafsu yang hadir di depannya demi sesuatu yang dijanjikan pahalanya, yang belum pernah melihatnya.”
Hadis ini menyatakan bahawa apabila seseorang telah mampu mengawal nafsunya kerana untuk menjaga keimanan dan meraih pahala, maka dia akan memperoleh kebahagiaan. Begitula keagungan aqidah Islam yang mampu menjanjikan ketenangan buat mereka yang benar-benar beriman.
iii) Meningkatkan keimanan.
Manusia dan Malaikat, kedua-duanya dianugerahkan dengan nikmat iman. Bezanya, iman manusia ada kalanya bertambah, dan ada kalanya akan berkurang sekiranya ia tidak disemai dan dipupuk. Untuk memperoleh iman yang sentiasa meningkat, seseorang perlu menetapkan keyakinan terhadap aqidah Islam. Bunyinya kelihatan ringkas dan mudah, namun ia bukanlah sesuatu yang boleh dicapai oleh semua orang.
Pengahayatan yang mendalam terhadap aqidah Islam akan membuatkan seseorang mempunyai kecenderungan untuk berbuat kebaikan. Dia akan meletakkan syurga sebagai matlamat dan menjadikan ibadat sebagai saluran untuk dia memperkasakan iman. Pesanan Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 berbunyi:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu.”
Dalam ayat ini Allah mengingatkan tentang tujuan sebenar manusia dan Jin itu dijadikan tidak lain iaitu untuk berserah diri dan beribadat kepada Allah. Sekiranya konsep ibadah diterapkan dalam setiap amalan, maka akan mudahlah baginya untuk memperoleh tingkat iman yang berkualiti dan berterusan.

5. KEROSAKAN AQIDAH DAN IMPLIKASINYA.
Masalah aqidah adalah perkara yang tidak boleh diperkecilkan. Ini kerana ia merupakan suatu tiket yang membolehkan seseorang itu dipanggil Muslim ataupun tidak. Jika dilihat di ruang dada akhbar, masih ramai antara umat Islam yang mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang dibawa oleh Tok Guru yang mengaku dirinya sebagai Rasul. Fenomena ini membuktikan bahawa pegangan aqidah Islam di kalangan umat Muhammad itu masih di tahap yang mengecewakan. Ini adalah suatu ciri yang menunjukkan kerosakan aqidah yang semakin merebak. Implikasinya dapat dilihat dari 3 sudut: hati, lisan dan perbuatan.
1) Implikasi terhadap Hati.
Hati adalah umpama kerajaan terhadap seluruh anggota tubuh badan. Jika rosak hati, bermakna akan rosaklah seluruh tubuh yang ditadbirnya. Salah satu contoh kerosakan aqidah yang melibatkan hati adalah seseorang yang suka mengeluh apabila ditimpa sesuatu ujian. Perasaan geram dan marah yang wujud, walaupun tidak dapat dilihat oleh orang lain sebenarnya sudah cukup untuk menyatakan bahawa dia tidak betul-betul percaya kepada qadak dan qadar Allah. Dia terlupa bahawa Allah ada menerangkan dalam surah al-Furqan ayat 2 yang berbunyi:

“Yang kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, dan dia tidak mempunyai anak, dan tidak ada sekutu baginya dalam kekuasaanNya dan dia telah menciptakan segala sesuatu, dan dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.”
Apabila dia tidak percaya bahawa setiap ujian itu adalah dari Allah, itu bermakna keimanannya terhadap Qadak dan Qadar masih belum sempurna. Sekiranya perkara ini berterusan, pastinya aqidah yang asalnya sudah kukuh akan berlubang kerana dicalari perasaan tidak redha sebegini.


2) Implikasi terhadap Lisan
Lisan ataupun lidah adalah nikmat Allah kepada manusia yang tidak ternilai. Tanpanya, seseorang tidak mampu berinteraksi dengan baik dan tidak dapat menyatakan hasrat hati kepada orang yang mendengar. Berkata-kata itu adalah suatu keperluan dan amat mudah untuk diucapkan. Oleh sebab itu, ramai yang tidak menyedari bahawa kadang kala mereka telah menyalahgunakan nikmat lidah ini.
Ramai wanita yang dihumban ke Neraka kerana lidah. Ini kerana mereka menggunakannya untuk mengumpat dan bercerita tentang keaiban orang lain. Bagi kaum lelaki pula, mereka menggunakan lidah untuk berbalah dan berdebat perkara yang tidak masuk akal. Perkara ini terjadi kerana rapuhnya ikatan aqidah dalam diri. Natijahnya, aqidah yang pada asalnya elok, menjadi rosak dan tidak mampu lagi untuk mengawal lidah dari bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah.
3) Implikasi terhadap Perbuatan.
Kukuhnya tali ikatan aqidah menandakan teguhnya keimanan seseorang. Sebaliknya, jika ikatan tersebut sudah longgar, maka akan rosaklah aqidah seseorang dan robohlah keimanan seseorang. Ini semestinya akan menjejaskan ibadat individu tersebut. Apabila dia tidak lagi menaruh keyakinan terhadap rukun-rukun iman, itu beerti dia sudah menetapkan hatinya untuk ingkar kepada Allah.
Bilamana hati sudah jauh dari Allah, pastinya ia akan menyebabkan seseorang malas untuk beribadah. Hatinya akan menjadi kaku dan semakin berat untuk melakukan amalan kebaikan. Lebih teruk daripada itu, ada pula yang bertindak melakukan kerosakan di muka Bumi sepertimana firman Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 yang berbunyi:
“Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan Karena perbuatan tangan manusi, supay Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”


PENUTUP
Secara kesimpulannya, dapatlah difahami bahawa konsep aqidah Islam membawa erti yang sangat besar bagi seorang Muslim. Lafaz syahadah yang diucap merupakan asas kepada keislaman seseorang. Kalimah yang ringkas ini perlu diamati sedalamnya kerana ia adalah suatu ikatan janji antara seorang hamba dengan Tuhannya, yakni Allah. Selain tidak boleh raguragu dengan kebenaran lafaz syahadah, seseorang juga perlu menjadikan Allah sebagai Tuhan yakni dengan memperhambakan sepenuh jiwa dan raga kepadaNya dan menjadikan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai model yang harus dicontohi.
Kesempurnaan kalimah syahadah akan membuka ruang yang lebih luas kepada seseorang untuk pemantapan aqidah. Rukun Iman yang enam adalah jalan untuk menguatkan lagi pegangan aqidah Islam dalam diri. Bermula dengan kepercayaan kepada Allah sebagai Robb dan Ilah, seseorang itu akan memulakan langkah untuk mengenali Tuhannya dengan lebih dekat. Setelah mencapai makrifah Allah, barulah mudah untuknya mempercayai kewujudan dan peranan yang digalas oleh para Malaikat. Kepercayaan tersebut akan menjadi lebih kuat apabila dia tidak menepis keyakinannya terhadap Kitab-kitab Allah, para Rasul, Hari Akhirat dan Qadak dan Qadar.
Impak yang positif akan terhasil sekiranya pegangan aqidah Islam ini bersemadi kukuh dalam diri. Di antara kesan-kesannya ialah, akan lahir perasaan takut kepada Allah Azza wajalla. Ini adalah pendorong kepadanya untuk berbuat amal kebaikan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah. Selain itu, ia juga mampu membuatkan hawa nafsu seseorang terkawal yakni menghindarkan dirinya dari melakukan dosa. Natijahnya, akan meningkatlah keimanan seseorang seandainya perkara ini berterusan dan menjadi amalan.
Namun begitu, ramai di kalangan umat Islam yang tidak menyedari tentang tahap pegangan aqidah masing-masing. Tidak kurang juga yang langsung tidak mengabaikannya. Perkara-perkara ini akan membuatkan aqidah seseorang menjadi cacat atau rosak. Implikasinya dapat dilihat melalui tiga aspek iaitu hati, lisan dan perbuatan.
Kuat atau tidak pegangan seseorang terhadap aqidah Islam, bergantung kepada tahap keyakinan diri masing-masing. Jelasnya, aqidah yang kukuh akan menjamin iman yang teguh. Sebaliknya, aqidah yang tidak teguh boleh membuatkan iman akan luruh. Sama-samalah kita menjaga iman kita dan berysaha mempertingkatkannya.. Wallahua'lam.





RUJUKAN

Al-Quranul Karim
Buku:
Cawangan Penerbitan Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, (2006). Kenapa Islam Memerangi Kejahilan. Kuala Lumpur. Jabatan Perdana Menteri.
Dr. Abdul Aziz Muhammad as-Salman, (1994). Soal Jawab Aqidah Islam. Kuala Lumpur. Darul numan.
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, (2008). Apa Itu Islam?. Selangor. PTS Islamika.
Imam al-Ghazali, (2000). Membentuk Peribadi Mukmin Sejati. Kuala Lumpur, al-Hidayah Publisher.
Internet:
http://www.islamgrid.gov.my/articles/akidah/akidah.php
http://ms.wikipedia.org/wiki/Syahadah

1 comment: